Assalamualaikum w.b.t,
Salam Bersih, Muafakat, Sejahtera,

Alhamdulilah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan hidayah dan keizinan-NYA jua, sekali lagi pada tahun ini kita dapat bersama-sama mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan insya Allah menyambut Aidilfitri pada bulan Syawal yang penuh mulia ini dengan penuh sederhana.

Dalam perutusan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada warga kerja Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik selaras dengan kehendak dan permintaan masyarakat.

Tidak lupa juga kepada petugas barisan hadapan iaitu petugas Kesihatan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Anggota BOMBA, dan Penyelamat, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RELA, Pihak Berkuasa Tempatan dan seluruh anggota yang terlibat secara langsung dalam membantu Negara menangani isu Covid-19 ini. Saya berdoa agar petugas barisan hadapan sentiasa sihat dan dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru supaya kita bekerja sebagai satu pasukan. Umumnya kita hendaklah bersikap lebih ‘adaptive” dengan cara kita menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi membendung penularan wabak Covid-19.

‘Kita belum menang, tapi kita pasti menang’ itulah semangat yang perlu dititipkan di dalam setiap jiwa dan raga warga PDTPD dalam menangani wabak pandemik ini. Matlamatnya adalah pematuhan kendiri ‘self-regulation’ yang perlu dihayati oleh kita semua bagi memastikan kita tidak dijangkiti dan menjangkiti individu lain. Hal ini penting kerana sifat kerja di jabatan ini adalah berkhidmat terus dan secara langsung dengan masyarakat. Justeru, setiap warga PDTPD harus lebih peka dan mengamalkan norma baru atau 'new norms' dalam perkhidmatan dan pekerjaan masing-masing.

Justeru, ambillah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini, sebagai medan saling bermaafan antara satu sama lain. Malah, saya sentiasa percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan antara satu sama lain.

InsyaAllah, di atas sokongan semua warga kerja Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson, saya berharap Syawal yang bakal menjelang tiba bakal menjadi garis permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Saya percaya hari yang mulia ini memberi ruang kepada kita semua untuk merapatkan lagi jalinan ukhwah sesama kita yang menjadi asas pembentukan organisasi yang lebih kukuh dan dinamik.

Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada semua Warga Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson sepanjang tempoh menerajui jabatan ini.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah, Maaf Zahir Batin.